BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus menunjukkan komitmen menjaga kebajikan mahasiswa baharu daripada golongan kurang berkemampuan menerusi penganjuran Program Jejak Pewaris Watan 2025/2026 yang berlangsung dari 17 hingga 25 September ini.
Program itu telah dilaksanakan mulai tahun 2022 bagi menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada pelajar baharu yang kurang berkemampuan dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terdiri daripada berbilang budaya dan agama.
Semalam Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM telah menyerahkan bantuan kepada beberapa pelajar terpilih.
Melalui inisiatif ini, bantuan awal pengajian pendidikan dan Bakul Rahmah bernilai hampir RM40,000 diagihkan mengikut zon di seluruh Malaysia.
Agihan dijalankan secara berperingkat sehingga minggu pendaftaran pelajar, sekali gus memastikan tiada pelajar baharu tercicir daripada menerima sokongan sewajarnya untuk memulakan pengajian di UKM.
Menurut Norinsan, usaha itu adalah manifestasi keprihatinan UKM terhadap kelangsungan pendidikan anak bangsa.
“UKM sentiasa bertekad memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang dan kemampuan, berpeluang menimba ilmu di menara gading ini. Tiada seorang pun pewaris watan akan dibiarkan tercicir hanya kerana kekangan kewangan,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette















