Tong Keong (tengah).

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang membidas tindakan kerajaan negeri yang berdegil mahu menaikkan cukai tanah dan cukai petak strata mulai tahun depan serta tahun berikutnya ketika rakyat berdepan tekanan inflasi.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, langkah itu hanya menambahkan beban rakyat selepas sebelum ini kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut menaikkan cukai pintu, tarif air dan caj tempat letak kereta.

“Ketika kerajaan negeri mendakwa status kewangan Pulau Pinang tidak sihat, pada masa sama mereka berbelanja boros menggunakan wang rakyat sesuka hat.

“Selain itu, kerajaan negeri juga membazir kira-kira RM10,000 sehari untuk mencetak Buletin Mutiara serta membelanjakan RM3.31 juta membeli kereta rasmi baharu untuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta pegawai tertinggi.

“Malah, bonus enam bulan berjumlah RM6.68 juta juga diberikan kepada 25 peratus kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) walaupun rizab negeri hampir habis sehingga terpaksa meminjam RM100 juta daripada kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Tong Keong, tindakan ini memberi gambaran rakyat terus ditekan dengan beban kewangan sedangkan pegawai tertinggi dan Exco mendapat kereta baharu, manakala kakitangan menerima bonus besar.

Beliau turut membangkitkan isu kenaikan elaun ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) daripada RM1,200 kepada RM6,000 sebulan, namun kualiti perkhidmatan tidak menunjukkan peningkatan.

“Kerajaan negeri pimpinan DAP telah gagal mengurus kewangan dengan baik walaupun pada awal pentadbiran dahulu mendakwa mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

“Suka untuk kami mengingatkan kerajaan negeri supaya mengambil iktibar daripada rusuhan di Indonesia berhubung kenaikan elaun perumahan wakil rakyat dan protes di Timor Leste akibat pembelian kereta baharu untuk ahli Parlimen.

“Kesabaran rakyat ada hadnya dan kerajaan negeri wajar mengutamakan keperluan rakyat serta berjimat cermat, bukannya menjadikan rakyat sebagai ‘mesin ATM’ untuk menampung perbelanjaan tidak berhemat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast