M Kumarasan

ISKANDAR PUTERI – Polis mengeluarkan 64 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 25 motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Kilometer 6.2 Lebuh Raya Link Kedua (arah Tuas ke utara) dan Lebuh Raya Johor Bahru-Pontian (Plaza Tol Perling arah Gelang Patah) di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan berkata, sebanyak 27 motosikal ditahan, manakala semua saman berkenaan dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng berusia antara 14 hingga 28 tahun.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga asing berusia 19 tahun bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan kenderaan mereka turut disita di bawah Seksyen 64 akta sama.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk ubah suai struktur kenderaan (ekzos), nombor pendaftaran fancy, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada perlindungan insurans dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan turut memberikan amaran keras dan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan kegiatan samseng jalanan di kawasan Iskandar Puteri, yang mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Justeru, operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam daerah ini terjamin,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast