KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian Laporan Ipsos Malaysian Education Monitor 2025 berkenaan persepsi masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, ia menyambut baik dapatan laporan tersebut bagi tujuan tambah baik kualiti pendidikan negara.
Dapatan laporan menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kesembilan daripada 30 negara yang mengambil bahagian, dengan 44 peratus responden berpuas hati dengan kualiti pendidikan negara, 29 peratus tidak pasti, manakala baki 25 peratus lagi kurang berpuas hati.
Antara perkara utama yang disentuh dalam laporan Ipsos adalah terkait kesaksamaan akses pendidikan untuk semua murid, penggunaan teknologi selamat dan kesihatan mental.
Menurut KPM, ia baharu sahaja selesai memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah.
RUU tersebut antara lain bertujuan menangani keciciran sekaligus meningkatkan kesaksamaan akses pendidikan untuk semua murid dan salah satu langkah signifikan demi masa hadapan anak-anak Malaysia yang lebih baik.
Reformasi pendidikan yang sedang berjalan akan terus diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan memberi tumpuan kepada pendidikan yang inklusif dan mampan.
Ini termasuk peningkatan akses pendidikan berkualiti menerusi pembinaan sekolah baharu dan naik taraf infrastruktur institusi pendidikan
RMK13 turut memfokuskan kepada pendidikan prasekolah, penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Aspek penggunaan teknologi selamat dan kesihatan mental sememangnya menjadi perhatian Kementerian. Dasar Pendidikan Digital (DPD) memberi penekanan kepada aspek penggunaan teknologi digital secara menyeluruh, kreatif, inovatif, selamat, bertanggungjawab dan beretika. Manakala bagi menangani isu kesihatan mental, pengesanan awal Saringan Minda Sihat dan program intervensi dilaksanakan di semua institusi pendidikan seluruh negara,” katanya.
Pada waktu ini KPM sedang memuktamadkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027. Kedua-duanya adalah penting dalam memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan.















