JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemui lemas dalam sebuah kawasan lombong di Sungai Redan, Kampung Sungai Redan, di sini, hari ini.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan Saiful Bahri Mahpop berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 9.38 pagi.
“Sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu bot aluminium, sebuah lori dan pacuan empat roda dikejarkan ke tempat kejadian.
“Seramai 18 anggota dari BBP Johor Jaya dan BBP Skudai terlibat dalam operasi tiba pada pukul 12.18 tengah hari pada jarak 23 kilometer.
“Pencarian dilakukan sekitar tebing dengan menggunakan peralatan khas dan bot milik bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 2.49 petang dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jarak 9.14 mter dari tebing dengan kedalaman 7 meter.
Tambahnya, mayat mangsa diserahakn kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette
















