KUALA LUMPUR – Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE), sebuah platform modal insan utama Malaysia, akan kembali pada 6 hingga 8 Oktober 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), NHCCE sekali lagi bakal menghimpunkan pemimpin, pakar dan pengamal industri dari Malaysia dan seluruh dunia untuk membentuk masa depan modal insan.
Berteraskan tema ‘Menerajui Revolusi Modal Insan’, penganjuran NHCCE 2025 memfokuskan kepada matlamat untuk mengangkat peranan modal insan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.
Peranan ini dilihat amat penting terutama ketika dunia sedang berdepan transformasi teknologi, tuntutan kelestarian, perubahan demografi, dan mobiliti bakat rentas sempadan.

Pertemuan pemimpin dan pakar dari segenap pelosok rantau akan meneliti bagaimana transformasi ini mentakrifkan semula tuntutan dunia pekerjaan sekali gus mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian.
Sebagai salah satu platform utama di bawah Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 selaras dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, persidangan ini akan memberi tumpuan kepada perjalanan ASEAN dalam menangani cabaran seperti jurang infrastruktur dan penyertaan tenaga kerja, di samping merebut peluang dalam transformasi digital, mobiliti bakat dan kemahiran hijau.
Ini menjadikan NHCCE 2025 bukan sahaja mercu tanda bagi Malaysia, tetapi juga sebuah platform serantau untuk memperkukuh ekosistem kemahiran sekali gus memacu kemakmuran bersama di seluruh Asia Tenggara.

NHCCE 2025 akan menampilkan barisan penceramah terkemuka, diterajui oleh Dr. Michio Kaku, ahli fizik dan futuris terkenal dunia; Vishen Lakhiani, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mindvalley; serta David Coulthard, bekas pemandu F1 dan pemenang Grand Prix sebanyak 13 kali.
Mereka akan disertai oleh Mariana Atencio, wartawan pemenang anugerah Peabody, penulis dan hos televisyen; Dato’ Sri Idris Jala, Pengerusi PEMANDU Associates; Datuk Nicol David, ikon skuasy Malaysia; Dr. Shadé Zahrai, pendidik prestasi unggul kepada Fortune 500 dan pakar strategi kepimpinan; serta Jason Lai, jurulatih kepimpinan dan konduktor orchestra.
Nama-nama besar ini bersama beberapa pakar dan penggiat akan berkongsi pentas untuk membincangkan strategi mengemudi revolusi modal insan, daripada membina tenaga kerja bersedia masa depan hinggalah memacu transformasi digital, perniagaan mampan dan kepimpinan inklusif.
Para delegasi juga akan mendapat manfaat dari jaringan rangkaian BizMatch, pameran interaktif, sesi fireside chat dan pocket talk, yang menawarkan instrumen yang praktikal, kajian kes dunia sebenar serta peluang kerjasama merentasi industri.

NHCCE 2025 menekankan peranan utama modal insan dalam memacu kemajuan ekonomi ketika industri terus berubah di bawah pengaruh kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau.
Persidangan ini akan menyediakan platform untuk pertukaran ilmu dan kerjasama bagi memastikan Malaysia dan ASEAN kekal di barisan hadapan revolusi modal insan.
Jangan lepaskan peluang untuk meneroka NHCCE 2025 selaras dengan transformasi dunia pekerjaan pada 6 hingga 8 Oktober 2025 di MITEC KL.
Pendaftaran untuk NHCCE 2025 kini dibuka. Untuk maklumat lanjut atau memuat turun brosur persidangan, sila layari hrdcorp.gov.my/nhcce. – MalaysiaGazette















