Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) ditemani ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz selepas Mahkamah Rayuan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman seleweng dana Armada di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila membuat tuduhan `liar’ bahawa pihak pendakwaan memberikan tekanan kepada seorang saksi dalam kes rasuah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pihak pendakwaan berpendirian, panel tiga hakim yang membebaskan Ahli Parlimen Muar itu terkhilaf menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menekan saksi pendakwaan ke-13 supaya memberi keterangan yang `menyenangkan hati’ agensi itu dalam usaha menyesuaikan keterangannya di mahkamah.

“Tiada sebarang keterangan untuk menyokong tuduhan tersebut,” demikian menurut petisyen rayuan yang difailkan oleh pendakwaan bagi menyokong rayuan untuk mengetepikan pembebasan Syed Saddiq daripada keempat-empat pertuduhan.

Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan kepada pihak media, petisyen rayuan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Petisyen itu menggariskkan 28 alasan mengapa Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli keluarga keluar selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman terhadap kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahahan wang haram, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

Menurut petisyen tersebut, panel berkenaan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mengambil pendekatan yang salah ketika menilai keterangan saksi-saksi pendakwaan dalam kes itu.

Pendakwaan menyatakan, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila menolak keterangan yang tidak memihak kepada Syed Saddiq sebelum pengeluaran wang RM1 juta milik Armada pada 6 Mac 2020, walhal keterangan itu amat relevan yang menunjukkan niat jahat dan tidak jujur ahli politik itu.

“Mahkamah Rayuan gagal mempertimbang bahawa kesalahan persubahatan Syed Saddiq mempunyai kaitan dengan pecah amanah oleh SP13 kerana tanpa arahan beliau, SP13 tidak akan melakukan perbuatan itu,” demikian menurut petisyen berkenaan.

SP13 adalah Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang namanya disebut dalam pertuduhan bersubahat pecah amanah dan salah guna harta milik Armada yang dihadapi Syed Saddiq.

Pihak pendakwaan selanjutnya menyatakan, Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membuat penilaian bahawa wang RM120,000 adalah milik Syed Saddiq, oleh yang demikian beliau tidak perlu memberikan justifikasi berkaitan pemindahan wang tersebut ke dalam akaun peribadinya.

Menurut petisyen itu, panel hakim juga gagal mengarahkan minda mereka dengan betul apabila membuat penilaan bahawa wang RM120,000 tidak digunakan untuk kempen, atas alasan wang dalam tangan berjumlah RM170,000 yang dianggap wang kutipan dana terlebih dahulu diguna untuk membiayai kempen.

“Mahkamah terkhilaf ketika memutuskan wang RM120,000 adalah milik Syed Saddiq dan boleh digunakan bagi menggantikan wang RM170,000 yang telah dibelanjakan untuk kempen,” ujar petisyen itu.

Berkaitan pertuduhan pengubahan wang haram, pendakwaan menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membenarkan rayuan responden walhal perayu telah berjaya membuktikan kes melampaui tahap keraguan yang munasabah bagi pertuduhan tersebut.

Oleh yang demikian, pihak pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.

Perbuatan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

Dia mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, Syed Saddiq ,33, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast