KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad secara sinikal rasa kasihan terhadap UMNO yang sekadar layak merebut 26 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) meskipun sebelum ini sebuah parti gergasi.
Katanya, ia pula berdasarkan jaminan DAP yang mana UMNO hanya bertanding di kerusi yang dimenangi parti tersebut selain turut mencadangkan PRU-16 diadakan serentak.
Situasi itu juga, tambahnya, memperlihatkan slogan `No DAP, No Anwar’ yang dilaungkan UMNO pada PRU-15 hanya tinggal sejarah dan kini menjadi `Yes DAP, Yes Anwar’.
“Ingatlah, kalau pun UMNO mahu bertanding lebih banyak kerusi hakikatnya gelanggang majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang itu semua adalah ‘tanah kubur’ buat mereka.
“PRU-15 pun sudah membuktikan, Perdana Menteri dari UMNO pun rakyat tetap tolak.
“Sekarang UMNO hanya menumpang kasih bukan menyumbang kerusi. PH (Pakatan Harapan) pula, hendak dengar cakap siapa? UMNO atau DAP? Jawapannya mudah, tepuk dada, tanyalah hati.
“DAP pula dia akan kekal kerusinya, dalam masa yang sama perlu kudakan UMNO untuk mereka berada dalam kerajaan. Yang untung DAP, ruginya UMNO lah,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengesyorkan supaya PRU-16 bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan secara serentak dengan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menjimatkan kos sekali gus memastikan kelancaran proses pilihan raya yang akan diadakan.
Dalam masa sama, Anthony menegaskan, sekiranya PH meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU-16, parti itu mahu kekal bertanding di kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi sebelum ini.
Sementara itu, Idris berkata, Pas dan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya tidak kira sama ada PRU-16 diadakan serentak atau berasingan akan tetap melawan.
Ujarnya, `tin milo’ yang sebelum ini mampu menumbangkan lawan di empat buah negeri sudah digerakkan dan Pas juga bersedia untuk keluar dengan `tong drum’ untuk PRU-16.
Dalam masa sama, tambah beliau, jentera juga sudah digerakkan, bendera lama sudah dibasuh, bilik gerakan dibuka dan ceramah juga sudah rancak bermula.
“Insya-Allah, tong drum akan menggegarkan lebih banyak kerusi. UMDAP-PH boleh terus bersandiwara tapi rakyat sudah celik,” katanya.
Sementara itu, dakwa beliau, media sosial juga masih berpihak kepada PN dan menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta PH.
Katanya, perkara itu boleh dilihat terjadi secara organik bukan diupah dan diajar.
“PN hanya harapkan biar bermain di padang sama rata dan tidak ubah tiang gol dalam PRU-16,” katanya. – MalaysiaGazette

















kesian PAS mengemis parti lain untuk kerjasama politik. selaly neludh jke langit