Amir Hamzah pada Majlis Perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Siri 2) Peringkat Nasional di Menara HASiL Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan yakin persiapan pelaksanaan subsidi petrol, BUDI95, yang bermula 30 September ini berada pada tahap mencukupi, termasuk daripada segi mesin di kedai dan sistem di pam stesen minyak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat minyak sejak hujung tahun lalu bagi memastikan pelaksanaan subsidi itu berjalan tanpa masalah.

“Projek ini sebenarnya sudah bermula sejak lama. Bukan perkara lambat atau kelulusan yang menjadi isu. Pendirian kerajaan adalah untuk memastikan apa yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.

“Kita telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat minyak sejak hujung tahun lalu dan saya percaya persediaan sekarang sudah mencukupi.

“Selain itu semua syarikat minyak telah mengesahkan kesediaan mereka, termasuk mesin untuk kedai dan kebanyakan sistem di pam stesen juga sudah diaktifkan. InsyaAllah, persediaan ini sudah mencukupi pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Siri 2) Peringkat Nasional di Menara HASiL, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Mengulas lanjut Amir Hamzah bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berdepan sedikit masalah teknikal pada peringkat awal.

“Tidak semua perkara sempurna. Kadang-kadang ada perkara yang tidak berjalan seperti dirancang.

“Saya harap masyarakat bersabar kerana apabila sesuatu diperkenalkan, mungkin ada perkara tidak berjalan lancar, namun kerajaan akan menunaikan janji bahawa harganya adalah RM1.99,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast