Donald Trump . foto AFP photo AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka membentangkan satu pelan bagi menamatkan perang Israel di Gaza serta membincangkan masa depan wilayah Palestin yang musnah.

Visi tersebut akan dibentangkan kepada pemimpin Arab dan negara Islam, Selasa ini.

Menurut Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, Trump dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia dan Pakistan di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York,

Presiden AS itu akan membincangkan kemungkinan pengunduran tentera Israel dari Gaza pada masa depan serta menggesa supaya para pemimpin serantau menghantar pasukan tentera untuk mengekalkan ketenteraman di wilayah tersebut.

Satu sumber Israel dan Arab yang tidak dinamakan bercakap kepada Saluran 12, Trump juga akan membentangkan bagaimana proses peralihan dan pembinaan semula dapat dimulakan serta dibiayai.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang dijangka menghadiri mesyuarat itu berkata, pada persidangan mengenai penyelesaian dua negara yang dianjurkan oleh Perancis dan Arab Saudi di PBB pada Isnin, negaranya bersedia menghantar pasukan pengaman di Gaza.

“Kami bersedia memainkan peranan dalam perjalanan menuju keamanan ini. Kami sanggup menghantar pasukan pengaman,” katanya, pada hari yang sama Perancis dan beberapa negara lain mengiktiraf negara Palestin, menyertai United Kingdom, Kanada, Australia, Portugal dan lain-lain yang telah membuat langkah itu lebih awal.

Dilaporkan, pelan Gaza itu bukan digubal oleh Israel, tetapi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah dimaklumkan mengenai butirannya.

Difahamkan ia melibatkan peranan masa depan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA), sesuatu yang berulang kali ditegaskan oleh Israel bahawa mereka tidak akan bertolak ansur.

Pelan itu tidak memperuntukkan sebarang peranan kepada Hamas yang mana AS dan Israel menuntut kumpulan itu dilucutkan senjata dan dihapuskan.

Hampir dua tahun selepas perang pembunuhan beramai-ramai yang telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin di Gaza – kebanyakannya orang awam menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu – masih tiada tanda-tanda penyelesaian bagi menghentikan pembunuhan dan kebuluran akibat tindakan Israel.

Rundingan gencatan senjata sebelum ini menunjukkan kemajuan awal bulan ini, namun tentera Israel melancarkan serangan udara luar biasa ke atas Qatar dalam percubaan membunuh kepimpinan tertinggi Hamas.

Kumpulan Palestin itu berkata mereka telah bersetuju dengan cadangan yang dibentangkan, dan Israel mendakwa mereka juga menerima cadangan itu beberapa jam sebelum serangan dilancarkan.

Sejak itu, Israel meneruskan pemusnahan besar-besaran terhadap Bandar Gaza, pusat bandar terbesar wilayah itu, dengan membunuh puluhan orang awam setiap hari, memusnahkan puluhan bangunan kediaman, serta memaksa puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri ke selatan tanpa kepastian nasib.

Israel juga menggagalkan satu lagi perjanjian gencatan senjata dengan Hamas pada 18 Mac, apabila ia membunuh ratusan rakyat Palestin dalam serangan udara besar-besaran selepas membebaskan beberapa tawanan yang ditahan di Gaza.

Israel kemudiannya mengenakan sekatan total berbulan-bulan yang membawa kepada kebuluran besar-besaran kini.

Sekutu Trump, stesen penyiaran AS Fox News melaporkan pada Isnin dengan memetik pegawai kanan pentadbiran serta seorang lagi sumber maklumat tidak dinamakan bahawa Hamas telah merangka sepucuk surat ditujukan kepada Presiden AS yang mencadangkan gencatan senjata selama 60 hari dengan jaminan Trump sebagai pertukaran kepada pembebasan segera separuh daripada baki 48 tawanan, kira-kira 20 daripadanya masih hidup.

Menurut media sayap kanan itu, surat berkenaan kini dipegang oleh pengantara Qatar dan akan diserahkan kepada Trump pada akhir minggu ini. Baik Hamas mahupun Qatar belum memberi sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.

Trump dan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, dijadualkan berucap di UNGA pada Selasa. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast