Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Keprihatinan rakyat Malaysia terhadap Palestin mungkin telah disalah tafsir oleh pihak tertentu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, bantuan yang disalurkan Malaysia kepada Palestin atas dasar agama dan kemanusiaan secara konsisten telah menimbulkan salah tanggapan, termasuk dakwaan Amerika Syarikat yang mengaitkan negara ini sebagai lokasi pusat kepimpinan Hamas.

“Di Malaysia memang terdapat pelajar dari beberapa negara asing termasuk Palestin dan Syria yang menuntut di institut pengajian tinggi kita.

“Sebelum ini juga ada beberapa kes melibatkan warga Palestin yang dibunuh di negara kita.

“Pada pandangan saya, mungkin keprihatinan rakyat Malaysia terhadap Palestin disalahertikan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, Jonathan Schanzer mendakwa Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.

Dalam satu hantaran di platform X pada 18 September lalu,  Jonathan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain serta menjalin kerjasama keselamatan termasuk bertukar maklumat dengan agensi sahabat bagi mendapatkan maklumat awal untuk tindakan yang lebih berkesan.

“Alhamdulillah, kita ada kerjasama yang baik dengan semua agensi kerajaan, terutama imigresen, kastam dan juga AKPS.

“Kita sentiasa berhubung, berkongsi maklumat dan melaksanakan tindakan bersama dalam menangani isu keselamatan, termasuk di kawasan sempadan. Negara jiran seperti Thailand juga memberikan kerjasama yang baik,” tambahnya.

Tambah beliau, kerjasama antarabangsa itu sekaligus membolehkan pihak polis mengenal pasti jaringan kegiatan rentas sempadan dan seterusnya mengambil langkah pencegahan lebih berkesan demi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast