KUALA LUMPUR – Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang kedua, dibimbing, dipulihkan serta diberi perlindungan dan bukannya hukuman, kata Datuk Seri Nancy Shukri berhubung isu kanak-kanak juga perlu dihukum dalam perlakuan seks suka sama suka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menegaskan, kementeriannya kekal dengan pendirian bahawa kanak- kanak tanpa mengira jantina yang terlibat dalam kes seumpama itu perlu dilindungi dan dipulihkan.
“Pada masa yang sama, perlu ditegaskan bahawa individu dewasa memikul tanggungjawab utama untuk membimbing dan melindungi kanak-kanak, dan tidak boleh sama sekali dalam apa jua bentuk mengeksploitasi mereka.
“Bagi kes yang dibuktikan mempunyai elemen eksploitasi atau penderaan terhadap kanak-kanak, Kerajaan akan memastikan undang-undang dikuatkuasakan dengan tegas dan berkesan terhadap pelaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Nancy, tumpuan KPWKM berhubung isu itu adalah dengan memberi kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka.
Katanya, perundangan dan program sedia ada yang memberi penekanan kepada intervensi, perlindungan dan proses pemulihan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang adalah selaras dengan pendirian KPWKM,
Sistem berperingkat menerusi pendekatan berbeza sama ada melibatkan pemulihan dalam komuniti mahupun melalui institusi kanak-kanak seperti asrama akhlak dan institusi pemulihan yang lain ini adalah untuk memastikan kanak-kanak menerima bimbingan dan sokongan sewajarnya di setiap tahap.
Tegas beliau, isu ini tidak boleh ditangani melalui peruntukan undang-undang semata-mata, tetapi ia memerlukan kesedaran yang lebih tinggi, pembentukan institusi keluarga yang kukuh serta pembangunan sahsiah dan jati diri masyarakat menerusi pembabitan dan kebersamaan komuniti.
Katanya, KPWKM komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua kanak-kanak. -MalaysiaGazette















