KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi perhatian dunia apabila majlis anugerah antarabangsa, The Knights Award Musim Ke-4 bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada Oktober ini.
Majlis anugerah berprestij itu akan menghimpunkan bintang antarabangsa, selebriti terkenal dan tokoh-tokoh industri dari dalam dan luar negara.
Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, penganugerahan kali ini bukan sekadar mengiktiraf kejayaan individu dan organisasi tetapi turut memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat budaya, seni dan keusahawanan bertaraf dunia.
“Kehadiran nama-nama besar membuktikan The Knights Award adalah platform elit yang menyatukan pemimpin, inovator dan ikon budaya global,” katanya.
Majlis pelancaran anugerah ini telah diadakan di Boathouse di sini baru-baru ini dan turut dihadiri selebriti tempatan seperti Datuk David Arumugam, pencipta kandungan Jenn Chia serta tokoh terkenal seperti Datuk Seri Robert Lim dan Naquib Hamdan.
Antara tetamu istimewa yang bakal hadir Oktober ini termasuk penyanyi legenda dari Amerika Syarikat, Peabo Bryson dan pemenang dua Anugerah Grammy, Wayne Lai dan Rozette.

Selain penganugerahan, majlis itu turut menyaksikan kerjasama strategik antara The Knights Award dan JDX Tea bagi mengukuhkan jenama dalam industri teh dan kesihatan.
Dengan sokongan daripada jenama besar seperti ASTRO, Millennium Autobeyond dan Branding Association Malaysia, acara berkenaan dijangka terus mengekalkan reputasinya sebagai antara platform pengiktirafan terunggul di Asia.
Sejak tiga musim lalu, The Knights Award telah mengiktiraf lebih 150 kisah kejayaan dari pelbagai industri, dan edisi keempat ini dijangka lebih meriah dan berprestij. – MalaysiaGazette















