– Dewan Muslimat Pas Terengganu menggesa Kerajaan Negeri Terengganu meneliti semula kadar tarif air yang telah ditetapkan supaya tidak membebankan pengguna.

KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Terengganu menggesa Kerajaan Negeri Terengganu meneliti semula kadar tarif air yang telah ditetapkan supaya tidak membebankan pengguna.

Ketuanya, Zarani Othman berkata, kerajaan negeri boleh menetapkan mekanisme subsidi bersasar bagi tarif air untuk isi rumah dalam golongan B40.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan negeri juga boleh menyemak semula kadar blok tarif melebihi 20 meter padu supaya lebih berpatutan.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan perlu menambah baik langkah pendidikan penggunaan air secara berhemah tanpa membebankan rakyat.

“Kami menyedari keperluan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam menampung kos operasi dan penyelenggaraan, namun pada masa yang sama, kenaikan mendadak ini memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan keluarga besar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik di Terengganu dinaikkan sebanyak lapan sen setiap meter padu bagi penggunaan hingga 20 meter padu sebulan bermula 1 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SATU, Abdul Karim Endut berkata, dengan kadar baharu itu, caj penggunaan minimum untuk pengguna domestik berubah kepada RM6.60 sebulan.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat baru-baru ini menyarankan pengguna di negeri itu berjimat dalam penggunaan air harian bagi mengelakkan kadar bayaran lebih tinggi susulan pelarasan tarif air tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast