PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan segala kemungkinan kejadian bencana termasuk insiden lubang benam dapat dicegah melalui rujukan kes-kes luar negara serta penelitian dalam bidang kejuruteraan forensik.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, insiden tanah mendap seperti yang berlaku di Thailand baru-baru ini dijadikan pengajaran dan panduan agar perkara sama tidak berulang di Malaysia.
“Harapan kita ia tidak berlaku di negara ini. Saya sendiri melihat video kejadian di Thailand itu, cukup menyeramkan, lebih 50 meter ke bawah.
“Kita mengambil segala apa yang berlaku di luar negara sebagai rujukan kes bagi mengelakkan ia berlaku di negara kita. Itu sebab hari ini kita adakan seminar antarabangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri International Seminar on Forensic Engineering 2025 (ISoF 2025) di sini, hari ini.
Meskipun Malaysia berada di zon hijau daripada segi peta bencana seismik, namun kejadian gempa bumi kecil yang berlaku di Segamat, Johor baru-baru ini jelas menunjukkan perlunya pemantauan berterusan.
“Segamat tidak pernah disenaraikan sebagai red zone. Namun, berlaku pula enam hingga tujuh kali gegaran kecil di sana.
“Ini memberi pengajaran penting dalam aspek forensic engineering. Kadang-kadang kita rasa sesuatu tempat itu selamat, tetapi sebenarnya masih ada risiko tersembunyi,” tambahnya.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan daerah kini sedang mengumpulkan data kerosakan infrastruktur akibat banjir dan tanah runtuh, terutamanya yang berlaku baru-baru ini di Sabah.
“Pengumpulan kesemua data itu adalah untuk dinilai sebelum permohonan peruntukan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
“Segala kerosakan jalan, bangunan dan cerun akan dikenal pasti supaya permohonan tambahan dapat dibuat bagi tujuan pembaikan, seperti yang telah diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad berkata, tujuan utama seminar berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh bidang kejuruteraan forensik sebagai asas kepada pembangunan infrastruktur negara yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan.
Hal ini kerana kejuruteraan forensik bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah selepas kegagalan berlaku tetapi mampu mencegah kejadian yang tidak diingini dan melindungi nyawa orang ramai.
Melalui penganjuran ISoF 2025, Jabatan Kerja Raya (JKR) bukan sahaja mengukuhkan peranan sebagai peneraju kejuruteraan forensik di negara ini.
Malahan, membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang selamat, berdaya tahan dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat. – MalaysiaGazette















