Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail)  mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif susulan sebuah tren di Laluan Kajang mengalami gangguan teknikal di Stesen Muzium Negara, tengah hari tadi.

Kejadian pada jam 12.47 tengah hari itu menyebabkan kelewatan jadual perjalanan tren di laluan berkenaan.

Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beberapa penyesuaian operasi dibuat termasuk tren dari Stesen Kwasa Damansara hanya akan berhenti di Stesen Muzium Negara sebelum berpatah balik.

Manakala tren perantara dari Muzium Negara akan berhenti di Stesen Cochrane.

Selain itu, tren dari Stesen Cochrane akan berakhir di Stesen Kajang dan berpatah semula ke Cochrane.

“Pasukan kejuruteraan kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih bagi mengembalikan operasi normal secepat mungkin.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen turut ditempatkan di platform serta ruang legar stesen untuk membantu penumpang.

“Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen,” kata kenyataan itu.

Pihak Rapid Rail dalam masa sama menasihatkan penumpang supaya merujuk kepada laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan perkembangan terkini, selain memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast