Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz, pada 2 Oktober ini di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. - Foto: Instagram rmselangor

KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkongsi titipan indah menjelang pernikahan baginda bersama pasangan, Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz pada 2 Oktober ini.

Menerusi laman media sosial Instagram baginda semalam, Tengku Amir Shah memohon agar hubungan yang bakal dibina itu dilindungi Allah, kukuh dengan kasih sayang, percaya dan saling menghormati.

“Sayang, malam ini saya doa semoga masa depan kita sentiasa indah. Moga Allah lindungi kita, tunjukkan jalan yang baik dan penuh cahaya.

“Saya juga doa kita nanti dikurniakan keluarga yang sihat, kuat dan hubungan kita makin kukuh dengan kasih sayang, percaya dan hormat-menghormati,” titah Tengku Amir.

Dalam masa sama, Tengku Amir Shah turut bertitah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Selangor atas doa yang telah dipanjatkan.

“Sesungguhnya beta amat bersyukur atas segala ingatan dan doa tulus ikhlas tersebut terutamanya melalui majlis-majlis doa selamat yang telah diadakan di seluruh negeri Selangor bersempena dengan Istiadat Perkahwinan beta dengan Cik Afzaa Fadini,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memaklumkan Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan Cik Afzaa Fadini pada 2 Oktober ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Istiadat Pernikahan Diraja itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Kata Mohammad Munir, Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan perkahwinan itu pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast