Benjamin Netanyahu

NEW YORK – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam nada marah menuduh para pemimpin Eropah cuba menjerumuskan negaranya ke arah kehancuran dan menyifatkan sokongan mereka kepada Palestin ibarat meminta Israel melakukan “bunuh diri nasional.”

Beliau yang ketika itu berucap di Perhimpunan Agung PBB turut menuduh pemimpin barat memberi kelebihan kepada Hamas apabila mengiktiraf Palestin.

Bagaimanapun tegasnya, beliau tidak akan berundur dalam usaha menggagalkan usaha penububahan sebuah negara Palestin.

Dalam ucapan yang sebahagiannya disiarkan melalui pembesar suara tentera Israel di Gaza, Netanyahu berikrar untuk “menyelesaikan tugas” menentang Hamas walaupun Presiden Donald Trump percaya perjanjian gencatan senjata boleh dicapai.

Beberapa hari selepas Britain, Perancis dan kuasa Barat lain mengiktiraf negara Palestin, Netanyahu berkata mereka telah menghantar “mesej yang sangat jelas bahawa membunuh orang Yahudi membawa keuntungan.”

“Israel tidak akan membenarkan anda menyumbat sebuah negara pengganas ke dalam kerongkong kami.

“Kami tidak akan melakukan bunuh diri nasional hanya kerana anda tidak berani berhadapan dengan media yang bermusuhan dan gerombolan antisemitik yang menuntut darah Israel,” katanya.

Hamas melancarkan serangan paling dahsyat ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, mencetuskan serangan balas tanpa henti Israel di Gaza.

Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmud Abbas — pesaing Hamas — mengecam serangan itu serta antisemitisme dalam ucapannya sendiri pada Khamis lalu, yang disampaikan secara maya selepas Amerika Syarikat menolak memberi visa kepadanya.

Netanyahu — yang menentang penubuhan negara Palestin sejak berdekad-dekad lalu — mengejek sokongan Barat terhadap Abbas dan menyifatkan Pihak Berkuasa Palestin sebagai “korup hingga ke akar umbi.”

Namun pegawai Kementerian Luar Palestin, Adel Atieh, menyifatkan ucapan Netanyahu itu sebagai “ucapan seorang lelaki yang tewas.”

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, turut disebut dalam beberapa laporan media sebagai calon untuk mengetuai sebuah pihak berkuasa peralihan bagi Gaza di bawah cadangan AS itu.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang pemerintahannya menyokong Hamas, berkata pada Jumaat bahawa beliau menyokong sebarang gencatan senjata di Gaza.

Protes dan laluan berliku

Dengan Netanyahu berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan jenayah perang, termasuk menggunakan kebuluran sebagai senjata, perdana menteri Israel itu memilih laluan luar biasa ke New York, termasuk terbang merentasi Selat Gibraltar yang sempit.

Ketika beliau berjalan ke pentas utama Perhimpunan Agung, banyak delegasi bangun keluar dewan. Para penunjuk perasaan berarak berhampiran Times Square menuntut beliau ditangkap.

“Penjenayah perang tidak berhak menikmati ketenangan. Mereka tidak layak tidur lena,” kata Andrea Mirez, seorang wanita muda yang mengetuai protes bising sepanjang malam di luar hotel Netanyahu.

Dalam ucapannya, Netanyahu menolak keras dakwaan bahawa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, sambil menegaskan penduduk Gaza telah berulang kali digesa berpindah.

Namun, undang-undang kemanusiaan juga menganggap pemindahan paksa sebagai jenayah perang. Hampir keseluruhan penduduk Semenanjung Gaza telah dipaksa berpindah sepanjang peperangan ini.

Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 meragut 1,219 nyawa, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel — menjadikannya hari paling berdarah dalam sejarah negara itu.

Serangan balas Israel telah meragut lebih 65,549 nyawa penduduk Palestin, juga kebanyakannya orang awam, menurut angka kementerian kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas itu, yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Hanya pada Jumaat lalu, sehari sebelum ucapan Netanyahu, 20 orang terbunuh di seluruh Gaza, menurut agensi pertahanan awam Gaza.

Pertubuhan perubatan Doctors Without Borders pula berkata pada Jumaat bahawa mereka terpaksa menghentikan operasi di Bandar Gaza akibat serangan berterusan Israel.

‘Kami tidak lupakan anda’

Netanyahu berkata ucapannya disiarkan sebahagiannya melalui pembesar suara dengan harapan dapat mencapai pemimpin Hamas dan juga tebusan yang masih ditahan sejak serangan 7 Oktober 2023.

“Kami tidak pernah lupakan anda — walau sesaat sekalipun,” kata Netanyahu dalam bahasa Ibrani.

Sebilangan keluarga tebusan mengkritik kempen ketenteraan baharu Netanyahu dan menuntut gencatan senjata bagi menyelamatkan orang tersayang mereka.

Netanyahu berucap beberapa bulan selepas beliau mengarahkan kempen pengeboman besar-besaran ke atas tapak nuklear Iran.

Ketika berucap, beliau turut menunjukkan peta Asia Barat sambil menanda silang musuh-musuh Israel yang telah dibunuh. Iran memboikot ucapan itu. — AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast