Seramai 327 pelajar menerima insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Sambung Belajar Anak Mas Gading 2025 yang berlangsung di Dewan Datuk Peter Nansian, Pusat REDEEMS, Bau, Kuching, Sarawak. Gambar: Facebook Mordi Bimol.

KUALA LUMPUR – Seramai 327 pelajar menerima insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Sambung Belajar Anak Mas Gading 2025 sebagai pengiktirafan atas kejayaan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Datuk Peter Nansian, Pusat REDEEMS, Bau, Kuching dan dirasmikan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.

Menurut Mordi, majlis itu diadakan setiap tahun sebagai satu bentuk penghargaan kepada anak-anak Mas Gading yang berjaya melangkah ke alam pengajian tinggi, sekaligus memberi semangat dan galakan kepada mereka yang bakal memulakan fasa kehidupan baharu.

“Saya percaya pendidikan adalah pelaburan jangka panjang dan kunci masa depan masyarakat. Oleh itu, saya komited untuk memastikan peluang pendidikan terus terbuka luas kepada semua pelajar, tanpa mengira latar belakang mahupun keputusan akademik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 147 pelajar berada di peringkat diploma, manakala 181 pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Ia meningkat daripada 205 penerima pada tahun lalu dan peningkatan itu disifatkan sebagai satu perkembangan positif bagi kawasan Mas Gading.

Menurut Mordi, insentif tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan simbol pengiktirafan terhadap usaha dan keazaman para pelajar.

“Ini selaras dengan slogan kita sejak mula penganjuran, iaitu ‘Dari Anak Mas Gading untuk Anak Mas Gading yang Berjaya ke Menara Gading’,” ujarnya lagi.

Program berkenaan mula diperkenalkan pada tahun 2019 dengan kurang 50 penerima, namun jumlah tersebut melonjak dari tahun ke tahun.

Selepas terhenti sementara antara tahun 2020 hingga 2022 akibat kekangan peruntukan, insentif ini kembali dilaksanakan dengan lebih kukuh pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Majlis kali ini turut menyajikan pengisian bermanfaat seperti forum dan sesi interaktif bersama panel jemputan untuk memberi panduan serta motivasi kepada pelajar sebelum melangkah ke alam universiti.

Dalam pada itu, Mordi turut mengingatkan para pelajar agar tidak melupakan asal usul masing-masing dan sentiasa menyumbang kembali kepada pembangunan komuniti Mas Gading apabila berjaya kelak.

“Saya berharap semua penerima akan terus cemerlang dalam pelajaran dan menjadi generasi yang memberi manfaat besar kepada keluarga, komuniti dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast