KUALA LUMPUR – Meskipun menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD) tahap ringan dan memegang kad orang kurang upaya (OKU), ia tidak menghalang Muhammad Faeiz Danieall Mohamad Farid, 19, untuk tampil cemerlang dalam akademik.
Perkara itu dibuktikan Muhammad Faeiz Danieall apabila berjaya mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 ketika mengikuti pengajian di peringkat Matrikulasi, seterusnya menjejakkan kaki ke universiti idamannya di Universiti Sains Malaysia (USM).
Dia merupakan salah seorang daripada 4,236 pelajar yang mendaftar sebagai pelajar baharu USM Sidang Akademik 2025/2026 yang bermula Jumaat lalu sehingga semalam.
Anak sulung daripada empat beradik itu hadir ditemani kedua ibu bapanya yang turut berkongsi keterujaan atas pencapaian luar biasa insan kesayangan mereka dalam menimba ilmu pengetahuan ke peringkat tertinggi.
Muhammad Faeiz Danieall yang berasal dari Jitra, Kedah itu berkata, beliau tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran di USM dan berharap dapat menyesuaikan diri dalam suasana baharu.

“Walaupun saya teruja dan gembira dapat belajar di USM, namun pada masa sama agak gementar kerana ia adalah satu pengalaman baharu,” katanya yang bercita-cita bergelar pensyarah bahasa Inggeris.
Dalam pada itu, ibunya, Farah Nurulliza Mohd Najib, 42, berkata anak sulungnya itu ternyata mempunyai semangat luar biasa dan sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa jua perkara yang dilakukan.
“Sememangnya ada beberapa perkara yang menggusarkan saya untuk ‘melepaskan’ Muhammad Faeiz Danieall di sini, namun dengan adanya sokongan orang sekeliling dan kampus USM yang mesra OKU, ia sedikit melegakan.
“Saya ada membuat kajian dan mendapati USM antara universiti yang mesra OKU serta mempunyai sistem sokongan untuk mereka mengikuti pengalaman pembelajaran yang kondusif, sama seperti pelajar lain,” katanya.
Dalam pada itu, Farah Nurulliza turut mengakui walaupun ini bukan kali pertama anaknya tinggal di asrama, dia dan suami tetap bimbang terutama pada peringkat awal sementara anaknya itu dapat menyesuaikan diri.
Namun, ujarnya, dia dan suami akan memantau rapat perkembangan anak mereka dan percaya Muhammad Faeiz Danieall dapat menyesuaikan diri walaupun mempunyai cabaran tersendiri sebagai penghidap autism dan bersifat suka menyendiri (introvert).
Pada sesi pendaftaran Jumaat lalu, Muhammad Faeiz Danieall dan ibunya turut disambut Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, seramai 4,236 calon daripada puluhan ribu pemohon program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) melalui sistem UPU (Saluran Perdana) berjaya ditawarkan tempat di USM.
Tambah beliau, daripada jumlah tersebut, 3,378 ditempatkan di Kampus Induk; 919 pelajar di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, manakala 639 lagi di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.
Beliau turut menegaskan bahawa USM sentiasa memberi perhatian kepada golongan OKU dalam usaha merealisasikan impian mereka memperoleh ijazah dari USM yang mana sebanyak 17 calon OKU ditawarkan tempat di ketiga-tiga kampus.
“Pelajar-pelajar ini akan menikmati kemudahan kelas pertama di Desasiswa Aman Damai yang dilengkapi fasiliti mesra OKU seperti tandas khas, platform kerusi roda serta parkir kenderaan berhampiran bilik kediaman mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















