KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan tunduk kepada tekanan dalaman mahupun ancaman musuh politik luar, kata Naib Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan.
Beliau berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai nakhoda yang diyakini untuk memimpin parti dengan prinsip dan integriti meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Namun, perkembangan mutakhir amat membimbangkan. Wujud segelintir pimpinan parti yang bukan sahaja melanggar disiplin dan Perlembagaan, malah saya percaya mereka bersekongkol dengan musuh politik dari luar untuk melemahkan Bersatu demi kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Sanjeevan dibuat susulan sidang media Datuk Wan Saiful Wan Jan semalam mengenai isu pengumpulan tandatangan ketua bahagian yang mencetuskan kontroversi dalaman parti.
Sanjeevan berkata, sebarang percubaan untuk melemahkan kepimpinan parti akan ditangani dengan tegas.
Menurutnya, Bersatu tidak boleh dijadikan alat tawar-menawar oleh individu yang ‘gila kuasa’ dan perlu kekal sebagai wadah perjuangan menentang rasuah, salah guna kuasa dan politik rakus.
“Tindakan disiplin perlu diambil tanpa sedikit pun kompromi dan pilih kasih. Kepala yang cuba menggoncang parti dari dalam mesti digugurkan jika tidak pengkhianatan akan terus berakar serta menghancurkan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















