KUALA LUMPUR – Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat kepada tiga peratus dan dua peratus pada Ogos berbanding masing-masing 1.2 peratus dan 1.8 peratus pada Julai 2025.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pendorong utama kepada peningkatan inflasi teras termasuklah perkhidmatan penstriman, bekalan air serta barangan kemas dan jam tangan.
Selain itu, beberapa barangan bukan teras seperti ikan segar juga mencatatkan sedikit peningkatan.
“Pada masa yang sama, Indeks Harga Pengguna (IHP) elektrik menurun lagi, mencerminkan kesan berterusan daripada penstrukturan semula tarif yang dilaksanakan pada bulan Julai,” katanya menerusi Soroton bulan Ogos, hari ini.
Indeks pengeluaran industri perkilangan pula mencatatkan pertumbujan lebih tinggi sebanyak 4.4 peratus pada Julai berbanding 3.6 peratus bulan sebelumnya.
Katanya, kelompok berorientasikan eksport berkembang sebanyak satu peratus pada bulan Julai (Jun: 2.9%), didorong oleh peningkatan pengeluaran dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E), serta jentera dan peralatan.
Berkenaan pasaran kewangan domestik, BNM berkata, ia dipengaruhi oleh jangkaan terhadap pelonggaran dasar monetari Amerika Syarikat.
Katanya, di Amerika Syarikat, keadaan pasaran pekerja yang lemah dan kadar inflasi keseluruhan bulan Julai yang lebih rendah daripada jangkaan telah meningkatkan jangkaan pasaran terhadap pelonggaran dasar monetari oleh Federal Reserve AS.
“Berlatarkan keadaan ini, ringgit menambah nilai sebanyak 9% berbanding dolar AS (NEER: 0.2 peratus; purata serantau: 1 peratus), seiring dengan mata wang serantau.
“Walaupun terdapat aliran masuk bukan pemastautin yang lebih tinggi ke dalam pasaran bon domestik, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun secara amnya,” katanya.
Sementara itu, FBM KLCI meningkat lebih tinggi sebanyak 4.1 peratus (purata serantau: 0.6 peratus), didorong oleh keuntungan syarikat korporat yang kukuh. -MalaysiaGazette
















