Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Pelaksanaan sistem subsidi bersasar RON95 atau BUDI Madani RON95 (BUDI95) didakwa tidak menepati sasaran malah sebaliknya membebankan rakyat.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman mendakwa, terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diberi perhatian segera.

“Subsidi tidak benar-benar bersasar, pemberian subsidi secara automatik kepada semua pemegang lesen dan MyKad termasuk golongan T20 menunjukkan kerajaan gagal memastikan hanya golongan berpendapatan rendah menerima manfaat.

“Penjimatan kewangan jauh lebih kecil, anggaran penjimatan hanya sekitar RM2 hingga RM4 bilion, berbeza dengan angka besar yang diuar-uarkan kerajaan.

“Kesan ketidakadilan, golongan berpendapatan tinggi yang memiliki lebih banyak kenderaan bakal menikmati faedah lebih besar, manakala golongan B40 dan M40 tidak merasai manfaat yang setimpal,” katanya dalam kenyataan.

Suraya berkata, mekanisme pelaksanaan juga lemah melibatkan isu teknikal seperti penggunaan MyKad, lesen tamat tempoh dan risiko penyalahgunaan membuka ruang ketirisan serta menambah beban birokrasi kepada rakyat.

Katanya, beban kepada rakyat luar bandar dan M40 adalah kuota 300 liter sebulan tidak mencukupi bagi mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk perjalanan jauh menyebabkan mereka terpaksa menanggung harga pasaran.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan penuh BUDI95 dan mengadakan rundingan terbuka dengan semua pihak berkepentingan.

Jelasnya, ia termasuk mengkaji semula mekanisme subsidi bersasar yang lebih adil, telus dan benar-benar memberi kelegaan kepada rakyat yang memerlukan.

Bermula tengah malam tadi, seramai 16 juta rakyat Malaysia mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 yang menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Harga itu lebih murah berbanding kadar subsidi pukal sedia ada iaitu RM2.05 seliter dengan setiap rakyat diberi kelayakan penggunaan sebanyak 300 liter sebulan.

BUDI95 mula dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sejak 27 September lalu dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati inisiatif itu sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast