KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini memerintahkan dana berjumlah lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang asing yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas kedua-duanya tidak mencabar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain tiada pihak ketiga menuntut wang berkenaan.
“Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan. Wang tunai ini dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM,” katanya ketika prosiding, hari ini.
Menurut SPRM, dana yang dirampas termasuk RM14.77 juta dalam mata wang tempatan; S$6.13 juta, AS$1.46 juta, Franc Swiss 3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu 34.75 juta serta A$352,850.
Selain itu, jongkong emas seberat 16 kilogram dengan nilai dianggarkan RM7 juta turut disita dipercayai berkait dengan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan mahkamah bahawa notis warta telah diterbitkan pada 22 September lalu untuk memberi peluang kepada pihak ketiga membuat tuntutan, namun tiada yang tampil.
Empat pegawai kanan yang pernah berkhidmat dengan Ismail Sabri ditahan pada Februari lalu, manakala beberapa kediaman serta pejabat diserbu kerana dipercayai dijadikan lokasi simpanan aset tersebut.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, sebelum ini beberapa kali hadir ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung pengisytiharan asetnya.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas. – MalaysiaGazette















