BALIK PULAU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap syarikat kontraktor pembinaan, M Summit Builders Sdn. Bhd., kerana gagal melantik orang kompeten sebagai penyelia keselamatan tapak di tempat kerja.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman tersebut selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
“Syarikat itu selaku kontraktor prinsipal didakwa mengikut Peraturan 39(1), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024.
“Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP negeri, Auni Hasnun Faizun manakala siasatan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat, Lokman Hakim Muhammad,” katanya.
Tambah JKKP, setiap kontraktor prinsipal bertanggungjawab melantik penyelia keselamatan tapak yang kompeten bagi memastikan kerja pembinaan dijalankan dengan selamat dan mematuhi perundangan.
“Pelantikan penyelia keselamatan tapak penting untuk mengurangkan risiko kemalangan di tapak projek serta menjaga kebajikan pekerja.
“Kita akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya. – MalaysiaGazette















