ang Seng didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membuat satu penyataan palsu.

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat import dan eksport sarung tangan getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berhubung satu pernyataan palsu syarikat, tahun lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Toh Yang Seng, 51, yang juga Pengarah Syarikat GBM Glove Sdn Bhd membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membenarkan seorang setiausaha yang beramal di Firma Setiausaha Syarikat, Asiapro Advisory Sdn Bhd untuk membuat satu pernyataan palsu berkenaan butir material dalam Application To Strike Off Company GBM Glove Enterprise Sdn Bhd bertarikh 21 Februari 2024.

Itu adalah satu dokumen yang dikehendaki di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016 (Akta 777) berhubung dengan satu deklarasi mengenai GBM Glove Enterprise Sdn Bhd iaitu ‘The company does not have any assets or liabilities including any outstanding charges in the Register of Charges kept at the office of the Registrar of the Companies’ yang mana diketahuinya adalah palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat tersebut di Jalan Mutiara Emas 2/5, Taman Mount Austin di sini antara 15 Januari hingga 21 Februari 2024.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

OKS yang diwakili peguam Heng Wang Qianwei dan Au Yong Han Xing bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan dia adalah penanggung tunggal keluarga.

Heng Wang memberitahu mahkamah, anak guamnya yang juga pesalah kali pertama menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua anak masing-masing berusia 21 dan 17 tahun.

“Syarikat OKS sudah ditutup pada 21 Februari 2024 kerana kerugian dan sejak itu OKS tidak mempunyai pekerjaan tetap dan pendapatan yang terhad.

“OKS memberi kerjasama penuh kepada pihak SSM dan tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana OKS tinggal di daerah ini,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 November depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast