Khaled menyampaikan sijil dalam Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti dan Town Hall PIBKS/PBIG Daerah Kota Tinggi 2025 di Kolej Vokasional Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Kerajaan perlu menggunakan saluran diplomasi dan bukan ketenteraan dalam menangani penahanan 17 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang kini ditahan tentera Israel supaya tiada nyawa yang akan terancam.

Menteri Pertahan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, saluran diplomatik adalah kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah tersebut supaya semua aktivis terbabit selamat.

“Kita kena guna saluran diplomatik. Pertama, kalau kita guna saluran tentera, (kita perlu nilai) kemampuan dan keupayaan kita. Jarak kita juga jauh.

“Atas sebab itulah rakyat harus faham dan beri sokongan penuh pada usaha Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sedang buat. Jangan sensasikan sehingga terjejas keselamatan mereka (tahanan). Jangan buat sesuatu yang akhirnya (merugikan), kita tak ada saluran diplomatik.

“PM sudah beritahu telah menghubungi Turki, Mesir dan Qatar. Ada benda boleh beritahu, ada yang tak boleh beritahu. Beri ruang. Kita doa dan kita beri sokongan supaya usaha ini dapat dilakukan. Jangan mengeruhkan dengan mungkin melakukan demonstrasi, ia tak sesuai. Kita nak supaya rakyat kita selamat,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti dan Town Hall Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS)/ Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PBIG) Daerah Kota Tinggi 2025 di Kolej Vokasional Kota Tinggi di sini, hari ini.

Katanya, Perdana Menteri mampu melakukan penyelesaian menerusi hubungan diplomatik seperti yang pernah dilakukannya pada Oktober 2023.

Ketika itu ujarnya, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin telah meminta bantuan daripada Anwar dalam memastikan pembebasan rakyat Thailand yang didakwa dijadikan tebusan Hamas semasa pertempuran Palestin-Israel.

“Atas sebab itulah mesti ada pertemuan bila mereka panggil mesyuarat kita jumpa sebab kita nak ada hubungan. Ada keyakinan kita berkawan. Kita tahu ini kawan, sahabat sejati, ini bukan. Jadi kalau ada apa-apa berlaku kita telefon kawan, bantu. Itulah dia diplomasi,” katanya.

Mohamed Khaled melahirkan rasa kesal dengan tindakan rejim Israel itu dan diharap tidak menjejaskan nyawa mereka yang terlibat dalam misi GSF sama ada rakyat Malaysia atau juga dari negara lain.

Menurutnya, GSF merupakan satu misi kemanusiaan yang mencerminkan solidariti dalam kalangan rakyat yang mahu supaya kezaliman dan penindasan rakyat Gaza di Palestin dihentikan.

“Ini merupakan satu misi yang membawa bantuan kemanusiaan dan juga flotila yang tidak mempunyai senjata. Maka adalah sangat malang apabila Israel melakukan tindakan-tindakan sebegitu,” ujarnya.

“Dan saya berharap kita semua mendoakan keselamatan mereka dan memberi sokongan penuh kepada usaha-usaha kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri melalui saluran diplomatik menghubungi negara rakan-rakam daripada negara lain untuk sama-sama membantu bagi memastikan keselamatan dan supaya keadaan tidak menjadi lebih parah,” katanya.

Setakat petang ini, seramai 17 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal berkenaan.

Sementara itu, Sumud Nusantara Command Centre memaklumkan dua sukarelawan dari Malaysia diatas kapal Mikena (Ardell Aryana) dan Inana (Razali Awang) tidak dapat dihubungi sejak serangan berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast