JOHOR BAHRU – Menyediakan khidmat seks dengan bayaran RM230 setiap langganan melalui aplikasi Telegram.
Itu modus operandi yang dilakukan wanita warga asing dalam menawarkan khidmat seks di sebuah hotel bajet di Kebun Teh, di sini.
Bagainanapun kegiatan tersebut terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menghidu aktiviti persundalan itu sebelum melakukan serbuan pada pukul 4 petang kelmarin.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas menerima maklumat awam dan risikan pihaknya.
“Hasil operasi, pihak penguat kuasa berjaya menahan tiga wanita warga Laos dan seorang warganegara Filipina yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis.
“Semakan awal mendapati rumah penginapan tersebut turut menyediakan khidmat seks dengan bayaran RM230 setiap langganan melalui aplikasi Telegram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 39 tahun dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mereka katanya, kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau memberitahu, sepanjang pemeriksaan, satu Borang 29 iaitu saman terhadap pengurus hotel turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras aktiviti jenayah terancang, termasuk pelacuran dan pemerdagangan manusia.
Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan mereka. – MalaysiaGazette
















