KOTA TINGGI – Perjanjian kerjasama bidang pertahanan antara Malaysia dengan Qatar baru-baru ini membuka ruang lebih besar bagi perkongsian maklumat dan pengetahuan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi lawatan yang dilakukannya bulan lalu itu menyaksikan Malaysia dan Qatar menandatangani perjanjian kerjasama strategik.
“Kerjasama ini akan membuka peluang lebih luas untuk kedua-dua negara khususnya dalam aspek kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau.
“Perjanjian kerjasama ini adalah pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan dua hala,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti dan Town Hall Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS)/Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PBIG) Daerah Kota Tinggi 2025 di Kolej Vokasional Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Pada 28 September lalu, Mohamed Khaled membuat lawatan rasmi dua hari ke Qatar bagi memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Dalam lawatan itu, mesyuarat dua hala turut diadakan dan lawatan rasmi ke Barzan Holdings, sebuah syarikat berkaitan industri pertahanan milik kerajaan Qatar.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, perkara utama daripada lawatan itu adalah termeterainya perjanjian kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Qatar.
Melaluinya kata beliau, dapat meneroka pelbagai bidang yang dapat memantapkan lagi hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara.
“Dalam soal-soal seperti industri pertahanan, maklumat risikan, perkongsian pengetahuan mengenai kawasan Indo-Pasifik, maknanya mereka boleh tahu daripada Malaysia.
“Dan kita juga boleh tahu perkongsian maklumat dan pengetahuan mengenai kawasan di Asia Timur Tengah,” jelasnya.
Keadaan tersebut akan memperkukuhkan hubungan pertahanan kerana Qatar adalah antara negara sahabat yang Malaysia yakini, tambahnya. – MalaysiaGazette
















