Mohd Fared Mohd Khaled

JOHOR BAHRU – Semua masjid dan surau di seluruh Johor diarahkan mengadakan solat hajat serta doa keselamatan susulan penahanan aktivis kemanusiaan dan kekangan terhadap konvoi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera Israel.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) menzahirkan dukacita dan kekesalan atas tindakan biadap Israel yang menahan aktivis di perairan antarabangsa.

“Penahanan ini bukan sahaja melibatkan aktivis antarabangsa, tetapi juga rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan tersebut.

“Justeru, MAINJ mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) supaya setiap masjid dan surau mengadakan solat hajat dan doa keselamatan agar usaha murni konvoi Sumud Flotilla ini dikurniakan kejayaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MAINJ turut menyokong usaha diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel segera dibebaskan.

Dalam pada itu, kerajaan Johor juga menunjukkan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin melalui Tabung Kasih Johor-Palestin yang berjaya mengumpul RM2.53 juta setakat ini.

Perdana Meteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengecam tindakan tentera Israel yang menahan 23 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF).

Mengesahkan perkara itu, Anwar berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawat dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi memaklumkan perkara tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast