Yatt Hamzah dan Mohd Zulfadhli Khiruddin.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Yatt Hamzah menggesa pemimpin seluruh dunia termasuk Malaysia bersatu memberi tekanan kepada rejim Zionis terutama berhubung penahanan delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk suaminya, Mohd Zulfadhli Khiruddin di perairan antarabangsa Gaza, semalam.

Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah turut merayu kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas bagi mendesak Israel segera membebaskan suaminya dan sukarelawan lain yang ditahan tanpa sah tengah malam tadi (waktu Malaysia).

“Mohon kerajaan kita dan seluruh dunia bersatu menekan penjajah Israel melepaskan semua tahanan yang diculik tanpa sah di perairan antarabangsa. Mereka hanya bawa barangan asas dan tidak logik untuk dikepung dan ditahan.

“Harap semua pihak bangkit bersuara, tekan pihak rejim zionis. Ini satu jenayah antarabangsa yang sangat besar dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya,” katanya dalam satu siaran langsung dalam TikTok semalam.

Semalam juga Kementerian Luar memaklumkan semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel ketika menyertai GSF berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Dalam satu kenyataan, kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata, pihaknya akan memastikan mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.

Kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF, khususnya 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel semalam.

Mengulas lanjut, Yatt yang juga ibu kepada empat anak turut berkongsi kenangan bersama suaminya yang sebelum ini menitipkan wasiat tiga hari lalu.

Akui berdebar menanti berita mengenai Zulfahdli, Yatt, 45, melihat situasi yang berlaku ketika ini sebagai ujian buat dirinya, suami dan orang ramai.

“Tiga hari lalu, suami ada tinggalkan pesanan dan kongsi tentang wasiat dengan saya. Tidak tahulah dia bergurau atau sebaliknya.

“Katanya, kalau jadi apa-apa, tolong jaga ibu bapanya dan anak-anak. Saya lebih kepada tertanya-tanya sebab ini kali pertama dia tinggalkan wasiat.

“Tapi saya cakap kepadanya, dia kena balik dengan selamat ke tanah air dan pesan jangan risaukan keadaan di sini, semuanya dalam jagaan Allah. Dia hanya perlu fokus pada misi dan jaga kesihatan,” katanya lagi.

Yatt turut memberitahu, dia sering berpesan kepada Zulfadhli agar sentiasa ingat Allah sepanjang misi tersebut.

Pada masa sama, dia menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan keselamatan sukarelawan GSF selain meminta agar diadakan solat hajat bagi memohon pelindungan daripada Allah.

“Teruskan berdoa dan kongsi segala maklumat tentang Palestin. Jangan berhenti bercakap mengenai Gaza,” kongsinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast