KUALA LUMPUR – Polis menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti dijamin Perlembagaan namun semua pihak diingatkan supaya mematuhi arahan penguat kuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan selagi ia mengikut undang-undang sedia ada.
“Polis Kuala Lumpur sentiasa neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak. Hak berhimpun dijamin oleh Perlembagaan tetapi undang-undang dan arahan penguat kuasa tetap perlu dipatuhi.
“Arahan yang diberikan oleh pegawai di lapangan mewakili saya dan bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat, termasuk pelancong serta orang awam,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Menurut Fadil, kebanyakan perhimpunan berlangsung di kawasan awam yang menjadi tumpuan orang ramai dan laluan utama, justeru kerjasama peserta amat diperlukan agar tidak menjejaskan orang lain.
“Sekiranya penganjur atau peserta mematuhi peraturan dan garis panduan, polis tidak ada masalah untuk memberi ruang tetapi jika berlaku pelanggaran undang-undang sehingga menjejaskan ketenteraman awam, tindakan tegas akan diambil,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan arahan polis di lapangan perlu dilihat sebagai langkah mengawal keadaan, bukan satu bentuk sekatan terhadap kebebasan rakyat.
“Kami sentiasa terbuka untuk berbincang dengan penganjur, tetapi pada masa sama, keselamatan orang ramai menjadi keutamaan.
“Selain itu, kami sentiasa memastikan ibu negara dalam keadaan aman dan selamat. Kerjasama masyarakat amat penting dalam mengekalkan keharmonian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















