KUALA LUMPUR – Fasa ujian rintis Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan diperluaskan kepada pengguna daripada kelas lain dan juga di pintu-pintu masuk utama lain ke Malaysia dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem itu yang memulakan ujian rintis bermula 22 September lalu bagi kenderaan persendirian di pintu masuk Johor–Singapura bakal selesai minggu kedua pelaksanaannya.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan langkah nyata transformasi digital yang sedang dilaksanakan di bawah KDN dalam memodenkan sempadan negara dengan sistem imigresen bersepadu yang lebih pantas, cekap dan selamat.
Tambahnya, melalui aplikasi MyNIISe, proses imigresen akan terus dipermudah, menjadikan perjalanan rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa lebih lancar tanpa menjejaskan kawalan keselamatan.
“Saya melihat inisiatif ini sebagai simbol kejayaan Kerajaan Madani — kerajaan yang bukan hanya bercakap tentang pembaharuan, tetapi melaksanakannya demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
KDN telah memulakan percubaan sistem itu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bermula 22 September lalu hingga 28 Februari tahun depan.
Sepanjang tempoh percubaan, sistem kod QR dan aplikasi MyBorderPass sedia ada masih diteruskan.
Sistem NIISe antara inisiatif utama di bawah agenda reformasi kerajaan, dengan pelaksanaannya dipercepat daripada jadual asal iaitu Mac 2026.
Aplikasi berkenaan kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery. – MalaysiaGazette
















