Zamrin Hamzah

JOHOR BAHRU – Penolakan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia bukan berasaskan emosi semata-mata sebaliknya atas sebab kemanusiaan.

Pertubuhan Kebajikan Ihsan Pasir Gudang, Zamrin Hamzah berkata, tanggapan bahawa bantahan tersebut kerana berasaskan emosi adalah tidak benar kerana terdapat sensitiviti dan aspek lain yang perlu diambil kira.

“Sesetengah penganalisis berpendapat bahawa bantahan emosi boleh mendominasi naratif dan boleh menjejaskan fokus kepada isu-isu kerjasama serantau yang lebih luas.

“Sehingga kini AS tidak melihat Isu kemanusian di Gaza, Palestin sebagai manusia yang hidup perlu diselamatkan,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil dilaporkan berkata, tindakan menolak secara menyeluruh kehadiran Trump ke Malaysia dianggap bertentangan dengan dua prinsip penting dalam maqasid syariah.

Fauwaz berkata, prinsip tersebut ialah hifz al-amn iaitu memelihara keamanan dan maqasid al-‘umran iaitu pembangunan tamadun.

Beliau menjelaskan, emosi dan sentimen tidak boleh menjadi asas dalam membuat keputusan, sebaliknya ia perlu ditimbang berasaskan maslahat serta keadilan seperti dituntut syariat Islam.

“Tindakan ekstrem atau boikot secara mutlak bukan sahaja boleh mencalar reputasi Malaysia di arena antarabangsa, tetapi juga membuka ruang terhadap sekatan ekonomi, tekanan diplomatik atau pembalasan dasar dari AS yang mungkin berdampak kepada rakyat Malaysia di sana termasuklah kebajikan serta keselamatan para pelajar, pekerja, rakyat Malaysia yang bermastautin dan komuniti dakwah di AS,” katanya menerusi perkongsian Tinta Mufti yang disiarkan dalam media sosial, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Zamrin berkata, antara sebab kehadiran Trump perlu ditolak walaupun dikaitkan dengan Sidang Kemuncak ASEAN adalah kerana isu Palestin dan dasar luar negara tersebut.

Katanya, sikap dan dasar AS terhadap konflik Israel-Palestin, terutamanya pada masa lalu dan pandangan sesetengah pihak terhadap dasar luar AS yang dilihat tidak tegas atau berat sebelah, sering menjadi punca utama bantahan di Malaysia.

“Sesetengah pihak berpendapat kehadiran beliau akan dilihat sebagai merestui atau melemahkan kritikan Malaysia terhadap tindakan Israel dan pendirian AS. Mereka mahukan solidariti yang lebih kuat terhadap perjuangan Palestin,” ujarnya.

Begitu juga katanya, dasar beliau yang menekankan ‘America First’ dan kecenderungan kepada proteksionisme iaitu seperti pengenaan tarif menimbulkan kebimbangan.

Jelsanya, terdapat kerisauan bahawa dasar ekonomi AS boleh memberi kesan negatif kepada perdagangan, pelaburan, dan ekonomi Malaysia atau rantau ASEAN.

”Sesetengah pihak mungkin melihat kehadirannya sebagai peluang kepada AS untuk mendesak agenda yang lebih menguntungkan AS tanpa mempertimbangkan kepentingan serantau,” katanya.

Pada masa sama katanya, lawatan pemimpin yang kontroversi itu boleh mencetuskan demonstrasi awam dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat, terutamanya disebabkan sentimen yang mendalam mengenai isu-isu global.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast