Teo Nie Ching beramah mesra dengan peserta dalam Majlis Penutupan First Ever Corporate Social Responsibility Run Event - Run for The Future 2025 di Hutan Bandar, Kulai hari ini.

KULAI – Kementerian Komunikasi mengenal pasti sebanyak 224 lokasi di seluruh negara untuk ditingkatkan liputan internetnya.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 119 lokasi sedang dinaik taraf, 73 masih menunggu kelulusan dan 32 sudah selesai proses naik taraf.

Beliau berkata, pada masa sama, perkhidmatan internet di tujuh kawasan akan menjadi fokus utama bagi memastikan capaian yang lebih stabil dan menyeluruh kepada pengguna di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kulai berkata, kawasan berkenaan meliputi kawasan acara, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kem tentera, stadium, kawasan pelancongan, hospital serta lebuh raya dan laluan protokol.

Beliau berkata, bagi kawasan acara, sebanyak 17 lokasi dikenal pasti dan semuanya telah siap dinaik taraf sepenuhnya manakala untuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas sesi perbincangan dan mesyuarat bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sebanyak 81 institusi di seluruh negara telah dikenal pasti bagi pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Bagi kem tentera pula sebanyak 73 kem telah dikenal pasti sebagai persediaan pelaksanaan penambahbaikan liputan internet dan kini berada pada peringkat proses permohonan cadangan dan bagi kategori stadium, satu lokasi telah siap dinaik taraf, manakala dua lagi sedang dalam pelaksanaan.

“Untuk kawasan pelancongan, sebanyak 23 lokasi dikenal pasti memerlukan kerja penambahbaikan di mana enam daripadanya telah siap, bagi hospital sebanyak 20 lokasi telah dirancang, dengan tujuh daripadanya siap dinaik taraf setakat ini dan akhir sekali, bagi lebuh raya dan laluan protokol, tujuh lokasi telah dirancang dan satu daripadanya telah siap dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Penutupan First Ever Corporate Social Responsibility Run Event – Run for The Future 2025 di Hutan Bandar di sini hari ini.

Nie Ching berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia perkhidmatan.

Jelasnya, ini bagi memastikan semua kawasan tumpuan mempunyai capaian internet yang memuaskan terutama ketika berlangsungnya acara besar atau ketika peningkatan jumlah pengunjung.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast