Beberapa nozzle di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Pelangi di Johor Bahru hari ini dicabut berikutan terdapat masalah kebocoran tangki bawah tanah.

JOHOR BAHRU – Tular sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Pelangi di sini yang mencabut muncung sembur (nozzle) untuk RON95 menimbulkan pertanyaan termasuk sama ada terdapat masalah untuk melaksanakan Budi Madani RON95.

Bagaimanapun siasatan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Johor mendapati dia dilakukan bukan kerana stesen minyak tersebut kehabisan bekalan RON95.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, sebaliknya tindakan itu dilakukan kerana terdapat kebocoran pada tangki utama bawah tanah.

“Siasatan dijalankan anggota penguat kuasa pada kira-kira pukul 2 petang tadi susulan aduan awam yang diterima dan tular dalam media sosial.

“Menerusi percakapan dengan pengurus stesen memaklumkan ada nozzle RON95 dicabut disebabkan berlaku kebocoran pada tangki utama bawah tanah.

“Lapan nozzle tiada di pam (telah dicabut) iaitu pam 3, 4, 7, 8, 11, 12, 13 dan 14. Laporan berhubung isu ini juga telah dikemukakan kepada KPDN Putrajaya pada Julai lalu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan, langkah itu bertujuan mengelak kekeliruan pelanggan yang mungkin menyangka bekalan RON95 habis sedangkan itu berpunca daripada masalah teknikal pada tangki.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ada lagi lapan pam lain iaitu nombor 1, 2, 5, 6, 9, 10, 15 dan 16 masih beroperasi seperti biasa dan penjualan RON95 diteruskan,” katanya.

Sebelum itu, tular dalam media sosial mengenai rungutan pengguna terhadap sebuah stesen minyak di Pasir Pelangi yang didakwa menanggalkan beberapa nozzle pam RON95.

Tular juga dakwaan tindakan itu mungkin dilakukan untuk menghadkan penggunaan RON95 kepada kenderaan berplat Malaysia sahaja dan bukan untuk kenderaan pendaftaran Singapura. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast