KUALA LUMPUR – Pelabur asing beralih menjadi pembeli bersih minggu lalu, sekali gus membalikkan aliran keluar minggu sebelumnya dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM577.1 juta.
MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih bagi tiga daripada lima hari dagangan minggu lalu, dengan Khamis merekodkan aktiviti belian bersih tertinggi sebanyak RM503.9 juta, iaitu aliran masuk harian tertinggi sejak Mei 2025.
Ini diikuti pada hari Rabu (RM154.0 juta) dan Isnin (RM52.8 juta), manakala aliran keluar terbesar berlaku pada Jumaat (-RM80.5 juta) diikuti oleh Selasa (-RM53.0 juta).
Firma penyelidikan ini berkata, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing minggu lalu ialah Teknologi (RM339.7 juta), Penjagaan Kesihatan (RM313.6 juta) dan Pembinaan (RM51.0 juta).
Manakala tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih pelabur asing pula ialah telekomunikasi & media (-RM85.1 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (-RM48.4 juta) dan utiliti (-RM33.1 juta).
Dalam pada itu, pelabur institusi tempatan kembali mencatatkan aktiviti jualan bersih selepas aliran masuk minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih sebanyak -RM304.7 juta.
Sementara pelabur runcit tempatan pula meneruskan jualan bersih untuk minggu keempat berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak -RM272.4 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan menyeluruh minggu lalu. Peruncit tempatan dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak +10.1% dan +5.6%, manakala pelabur asing meningkat sebanyak +12.2%. – MalaysiaGazette
















