Seramai 10 anggota dibantu sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

JOHOR BAHRU – Bomba berjaya menyelamatkan seorang pendaki selepas tersesat semasa mendaki bersama-sama sepupu dan dua rakannya di Gunung Pulai dekat sini malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I , Jasni Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.19 malam.

Susulan itu seramai 10 anggota dibantu sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Operasi tersebut turut melibatkan seorang anggota polis dan 10 malim gunung. Berdasarkan maklumat daripada waris mangsa, dia dikatakan mendaki bersama-sama sepupu dan rakannya tetapi telah tersasar laluan daripada mereka.

“Pasukan penyelamat dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa, Razi Rahmat yang berusia 35 tahun ditemui pada point 2 di gunung berkenaan pukul 1.30 pagi tadi dalam jarak 2 kilometer dari jalan utama.

Jelasnya, mangsa ditemui dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital dengan EMRS.

Beliau menambah, operasi tersebut tamat pukul 3.18 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast