KUALA LUMPUR – UMNO-Barisan Nasional (BN) akan menyusun strategi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak semasa rakyat bagi menghadapi Piihan Raya Negeri Sabah.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mereka tidak berkempen dengan bersandar kata-kata manis sahaja tetapi menyediakan pelan serta tindakan yang nyata.
Tegas beliau, tumpuan utama dalam kempen BN pada PRN ini adalah isu-isu pembangunan Sabah yang gagal dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GSR).
“Rakyat sudah melihat sendiri kegagalan kepimpinan GRS dalam mengurus ekonomi, pelaburan dan pembangunan negeri. Banyak kawasan masih ketinggalan, peluang pekerjaan sempit, dan dasar pembangunan negeri tidak tersusun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
https://malaysiagazette.com/2025/10/06/dun-sabah-dibubar-hari-ini/
Tambah Bung Moktar, UMNO-BN yang mempunyai pengalaman luas mentadbir, membangun dan menjaga Sabah menjadi bekal utama mereka untuk memudahkan setiap jentera, calon dan kepimpinan melaksanakan tugas dengan lebih tersusun dan berkesan.
Beliau juga yakin untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat dan negeri Sabah yang disifatkan berhak untuk menikmati peluang, kemajuan dan kestabilan politik yang kukuh.
“UMNO-BN yakin rakyat Sabah akan membuat pilihan yang bijak memilih parti dan calon-calon yang mampu membawa arus perubahan yang lebih baik untuk rakyat dan negeri ini. Kita bukan datang dengan janji kosong, tetapi dengan keupayaan dan pengalaman yang telah terbukti,” katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke- 17. -MalaysiaGazette
















