KUALA LUMPUR – Penganjuran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2025 dijangka membawa kelainan dengan sasaran transaksi jualan melebihi RM50 juta serta kehadiran lebih 50,000 pengunjung bermula 31 Oktober hingga 2 November di Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penganjuran kali ini lebih berskala besar berbanding tahun lalu yang mencatat jualan RM16.6 juta dan lebih 25,000 pengunjung.
Menurutnya, berbekalkan pengalaman dan maklum balas positif MATEC 2024, penganjuran kali ini tampil dengan lebih banyak penyertaan industri, pempamer serta aktiviti interaktif bagi menarik minat pengunjung.
“MATEC 2025 membuktikan komitmen MARA dalam memperkukuh usahawan bumiputera di sepanjang rantaian nilai industri automotif, daripada pendidikan, keusahawanan hingga pelaburan.
“MATEC 2025 bukan sekadar pameran, tetapi platform untuk memperluas pasaran, membina jaringan baharu dan melonjak kapasiti usahawan bumiputera agar lebih berdaya saing dalam industri automotif moden,” katanya ketika Majlis Pra Pelancaran MATEC 2025, di sini, hari ini.
Bertemakan “Charge The Hype”, MATEC 2025 mengetengahkan empat komponen utama iaitu pameran (B2C), padanan perniagaan (B2B), Diagnose Hub, dan Experiential Wheel.
Sebanyak 180 reruai pameran bakal menampilkan pengeluar kenderaan (OEM), vendor alat ganti, usahawan automotif MARA serta agensi strategik seperti Petronas, EON, Daihatsu, Little Joe, Bateriku, CelcomDigi, Mannol, PMH, PUNB, MARii dan SME Corp.
Antara tarikan utama termasuk peluang pandu uji kenderaan elektrik (EV), aktiviti interaktif seperti Push Bike Challenge, EV Smart Quiz.
Tidak terkecuali, Wheel of Fortune, cabutan bertuah dengan hadiah motosikal dan barangan eksklusif MATEC serta deretan reruai Food Havoc yang menjual pelbagai menu viral untuk pengunjung.
Untuk rekod, lebih 5,000 usahawan automotif bumiputera telah dibangunkan MARA melalui latihan, pembiayaan, fasiliti perniagaan dan bimbingan strategik, dengan peningkatan jualan antara 10 hingga 20 peratus dicapai usahawan yang terlibat dalam pameran terdahulu. – MalaysiaGazette
















