KUALA LUMPUR – Seorang pesara berusia berputih mata selepas kerugian RM140,600 akibat terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai kerajaan, Ogos lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman, mangsa dikatakan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada 15 Ogos 2025, yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Putrajaya.
“Suspek mendakwa akaun bank mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram sebelum menyambungkan panggilan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis.
“Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan gambar depan dan belakang kad ATM miliknya serta diarahkan melapor diri secara dalam talian setiap dua jam. Mangsa juga diarahkan memindahkan semua wang ke dalam satu akaun untuk tujuan kononnya pemantauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang berusia 71 tahun kemudian memasukkan RM109,950 ke dalam akaun tidak dikenali pada 25 Ogos, diikuti RM30,650 lagi pada 12 September 2025.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi suspek untuk mendapatkan semula wang berkenaan.
“Difahamkan, pesara itu menggunakan wang simpanan peribadi dan hasil jualan saham miliknya bagi membuat bayaran tersebut.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Shahril menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa dan menakut-nakutkan dengan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette















