Subbarow.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melarang hidangan minuman keras di semua majlis rasmi anjuran kerajaan.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV. Subbarow berkata, larangan itu bukan sahaja selaras dengan nilai moral dan budaya masyarakat Malaysia, tetapi juga mencerminkan prinsip integriti dan etika dalam pentadbiran awam.

Jelasnya, meskipun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjelaskan minuman keras hanya dihidang selepas selesai acara rasmi, tindakan tersebut tetap tidak wajar dan mencemarkan etika penganjuran acara kerajaan.

“Insiden yang berlaku (hidangan arak) adalah tidak beretika dan amat memalukan kerana telah melanggar garis panduan yang ditetapkan, selain mencabul prinsip etika pentadbiran awam yang perlu dipatuhi bukan sahaja oleh penjawat awam, tetapi juga oleh ahli Kabinet.

“CAP berpendapat segala bentuk penganjuran majlis rasmi kerajaan perlu mencerminkan nilai moral, agama dan akhlak yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara.

“Malah, tindakan membenarkan arak dihidang dalam majlis rasmi memberi isyarat salah kepada generasi muda serta menghakis nilai budaya timur yang selama ini menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya hari ini.

Tambah beliau, amaran oleh perdana menteri perlu dilihat sebagai mesej jelas kepada semua pihak agar tidak mengulangi kesilapan sama.

Dalam pada itu, Subbarow turut menggesa kerajaan agar mengambil langkah lebih tegas dengan mengharamkan merokok dan penggunaan vape di semua acara dan majlis rasmi.

“Jika kerajaan benar-benar ingin mendidik masyarakat ke arah kehidupan sihat dan bermaruah, larangan ini wajar dikuatkuasakan tanpa kompromi,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast