Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemandu E-Hailing Utara (NeHDA) memandang serius pendekatan kerajaan yang hanya berurusan dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) secara berkelompok dalam pemberian tambahan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95).

NeHDA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya bimbang pendekatan itu akan menyebabkan pemandu dari syarikat kecil atau aplikasi tempatan tercicir daripada senarai kelayakan khususnya jika hanya satu atau dua EHO dominan dijadikan rujukan.

Sehubungan itu, NeHDA menamnbah, pemandu yang memiliki Permit Kenderaan E-Hailing (EVP atau PSV) yang sah dan aktif sepatutnya menjadi asas kelayakan subsidi tanpa mengira platform e-hailing yang digunakan.

“Ramai pemandu separuh masa turut bergantung kepada e-hailing untuk menampung kos hidup. NeHDA menerima banyak maklum balas daripada mereka yang bimbang akan disisihkan daripada manfaat ini,” katanya.

Persatuan Pemandu eHailing Utara (NeHDA).

Sehubungan itu NeHDA menyeru kerajaan melibatkan persatuan-persatuan yang ada dalam proses pelaksanaan dan semakan subsidi agar suara akar umbi pemandu dapat diangkat secara adil dan menyeluruh.

Jelasnya, sekali pun rujukan kepada syarikat dominan sebagai asas pengagihan, perlu diingatkan bahawa input dan data yang diberikan tidak semestinya tepat dan merangkumi semua pemandu e-hailing sama ada sepenuh masa dan separuh masa.

Dalam masa sama, NeHDA turut mempersoalkan pendekatan kerajaan yang dilihat memberi keutamaan kepada syarikat Grab sebagai satu-satunya rakan strategik dalam pelaksanaan subsidi dan pembangunan industri e-hailing.

“Mengapa hanya Grab diberi keutamaan, sedangkan kita mempunyai pelbagai aplikasi tempatan seperti MyCar, GVride, MyRide dan lain-lain yang wajar diutamakan dan diberi insentif khas untuk berkembang?” soalnya.

Tambahnya, syarikat e-hailing selain Grab itu juga menyumbang secara langsung kepada ekonomi domestik, menyediakan peluang pekerjaan dan keusahawanan tempatan, lebih mudah diselaraskan dengan dasar negara dan berpotensi menjadi pemacu teknologi mobiliti nasional.

“NeHDA percaya bahawa masa depan industri e-hailing Malaysia tidak boleh bergantung kepada satu entiti sahaja. Kita perlu membina ekosistem yang pelbagai, adil dan berdaya saing yang mengangkat penyedia tempatan dan melindungi komuniti pemandu sebagai tulang belakang ekonomi gig negara,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, NeHDA bersedia menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam memastikan pelaksanaan subsidi BUDI95 berjalan secara telus, inklusif dan berimpak tinggi.

“Kami percaya setiap pemandu yang sah dan aktif wajar dilayan dengan adil, tanpa diskriminasi terhadap status atau platform operasi,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kelayakan bagi kuota tambahan di bawah inisiatif BUDI95 untuk pemandu e-hailing dan p-hailing akan ditentukan berdasarkan tahap penggunaan bahan api masing-masing dan diumumkan pada 15 Oktober ini.

Amir Hamzah yang juga Menteri Ekonomi berkata, kerajaan telah menerima sebahagian data daripada syarikat e-hailing menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan maklumat tersebut sedang diteliti bagi memastikan proses penyaluran subsidi dapat dilaksanakan dengan tepat. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast