12 usahawan wanita menerima anugerah dalam Pengiktirafan Usahawan Wanita Berpengaruh (MIWE) dalam Majlis Makan Anugerah Pilihan Pengguna 2025 kali ke-20 di Loon Sing Conventional Hall, Taman Daya Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Seramai 12 usahawan wanita cemerlang daripada pelbagai industri dirai dan menerima anugerah dalam Pengiktirafan Usahawan Wanita Berpengaruh (MIWE) dalam Majlis Makan Anugerah Pilihan Pengguna 2025 kali ke-20 di Loon Sing Conventional Hall, Taman Daya di sini malam tadi.

Program pengiktirafan berprestij itu dianjurkan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) dengan sokongan kepimpinan daripada Consumers’ Choice Award (CCA) dan Best Intelligent Figures (BIF).

Timbalan Presiden MTPN, Noorman Kamsani berkata, anugerah berkenaan bertujuan untuk mewujudkan platform lebih luas dalam meraikan dan memperkasakan para usahawan wanita Malaysia.

“Setakat ini anugarah MIWE yang diperkenalkan sejak 2023 dalam majlis anugerah tersebut sudah mengiktitaf 48 usahawan wanita unggul dari seluruh negara.

“Ini merangkumi pelbagai sektor termasuk hiburan, pendidikan, pengambilan tenaga kerja, pembinaan, perundangan, kecantikan, penjagaan kesihatan, kesejahteraan diri, pengurusan hartanah, automotif, F&B, pengurusan acara dan banyak lagi.

“Meneruskan misi untuk memperkasa dan memberi inspirasi, MIWE bukan sahaja meraikan kejayaan, malah membina platform untuk perkongsian inspirasi dan kerjasama antara wanita,” katanya yang juga Pengerusi MTPN Johor ketika ditemui.

Turut hadir Presiden MTPN, Datuk Yeo Kok Vui, Ahli Majlis Penasihat MTPN, Profesor Datuk Dr GP Doraisamy yang juga Setiausaha Agung Kehormat World Humanitarian Drive (WHD) serta Timbalan Presiden MTPN, Masrudi Abdul Rahman.

Sementara itu, Pengerusi MIWE, Nur Saimah Saimin berkata, anugerah tersebut meraikan sejumlah 48 usahawan wanita hebat yang telah menunjukkan kekuatan, kreativiti dan kepimpinan luar biasa.

“Hari ini, wanita semakin menyerlah dalam setiap bidang daripada perniagaan baharu dan industri kreatif, hingga ke perusahaan keluarga serta sektor yang dahulunya dikuasai lelaki.

“Keberanian mereka untuk berkembang, memimpin dan membawa perubahan terus menjadi inspirasi kepada ramai. MIWE komited untuk terus membina ekosistem yang kukuh agar wanita dalam dunia perniagaan dapat berkembang maju dan memimpin perubahan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast