KUALA LUMPUR – Menyedari busana yang dikenakan beliau setiap kali pembetangan belanjawan sering menjadi perhatian media, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini tampil memperincikannya.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau bertajuk OOTD (Outfit Of The Day), Anwar memuat naik keterangan busana lengkap yang dikenakan beliau bermula daripada songkok sehinggalah kepada capal.
Menurut Anwar, songkok yang dikenakan beliau berasal dari Johor, butang baju Melayu (Pahang), Baju Melayu (Kuala Lumpur), samping (Penjara Kajang) manakala Capal Jago dari Kepala Batas.
Turut menarik perhatian adalah beg fail hitam dengan corak tenunan yang digunakan untuk membawa dokumen Belanjawan 2026 iaitu Beg Heart Treasures dan Tanoti rekaan anak muda golongan kurang upaya (OKU).
Terdahulu, Anwar tiba di di bangunan Parlimen kira-kira pukul 3.45 petang ini bagi pembentangan Belanjawan 2026 dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru cerah lengkap bersamping.
Ketibaan beliau disambut isterinya, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mengenakan baju kurung sedondon.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalannya, Lim Hui Ying.
Perdana Menteri juga sempat beramah mesra dengan media yang menanti kehadiran beliau di lobi Parlimen sebelum bergerak memasuki Dewan Rakyat.
Bertemakan Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030). – Malaysia Gazette
















