JOHOR BAHRU – Belanjawan 2026 bukan sekadar angka dan janji, sebaliknya kesinambungan reformasi ekonomi yang sedang membawakan hasil.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Fakharuddin Moslim berkata, pembentangan itu dilakukan dalam keadaan pelaburan meningkat, inflasi terkawal dan bantuan rakyat diteruskan dengan cara lebih berfokus.
“PM bentang dengan penuh tanggungjawab, bukan dengan retorik politik. Setiap sen dibelanja untuk bina semula asas ekonomi negara.
“Kalau Pas betul-betul yakin mereka lebih baik, bentangkan pelan sendiri, jangan sekadar cari salah orang.
“Rakyat hari ini mahu solusi, bukan slogan. Belanjawan 2026 bukti kerajaan Madani ialah kerajaan bekerja, bukan berdrama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dilaporkan menganggap belanjawan itu yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar di Dewan Rakyat semalam sebagai tempang di sebalik pelbagai inisiatif dan pengumuman dibuatnya.
Menurut wakil rakyat daripada Pas itu, beliau melihat Belanjawan 2026 dibentangkan dalam suasana politik dan ekonomi yang mencabar.
Katanya, ungkapan ‘sukacita diumumkan’ disebut Anwar yang juga Menteri Kewangan menghantar isyarat bahawa perancangan ekonomi kerajaan itu tidak sekadar belanjawan fiskan sebaliknya belanjawan prapilihan raya.
Mengulas lanjut, Fakharuddin berkata, sekiranya ditanya kepada ahli Parlimen daripada Pas, jawapan yang diberikan berkenaan belanjawan tersebut adalah negatif sahaja.
“Kalau tanya MP Pas atau pimpinan Pas, semua ikhtiar yang datang dari kerajaan ni teruk, tak betul, tak berfungsi dan terbaharu, Belanjawan 2026 ni, tempang, tak cukup berani.
“Kalaupun Kerajaan peruntukkan berapa banyak pun peruntukkan, waima lebih banyak dari masa Perikatan Nasional (PN) jadi kerajaan untuk negeri yang mereka tadbir, tetap dapat gelaran zalim. Itu lah Pas,” ujarnya.
Ketua PKR Cabang Tenggara itu berkata, mudah untuk Pas mengkritik berbanding memberi cadangan.- MalaysiaGazette
















