KUALA LUMPUR – Generasi muda diseru untuk menjadi suara keadilan dan keamanan dunia, termasuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang terus ditindas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suara anak muda mampu membawa perubahan besar jika mereka bersatu dalam satu perjuangan berlandaskan nilai kemanusiaan dan keadilan.
“Jika anda mampu mendengar, bekerjasama dan bersuara sebagai satu, maka suara itu boleh membawa harapan kepada mereka yang tidak mampu bersuara termasuk saudara-saudara kita di Palestin.
“Semoga kita semua menyaksikan dunia di mana Palestin akhirnya bebas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pemimpin Muda Antarabangsa (iFuture 2025) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut beliau, dunia kini berada dalam keadaan letih dan kehilangan arah nilai apabila kemajuan tidak lagi seiring dengan kebijaksanaan serta kemanusiaan.
Justeru, generasi muda berperanan penting dalam memulihkan semula kepercayaan terhadap nilai kemanusiaan dengan menjadi pemimpin yang berprinsip, berintegriti dan berpaksikan kasih sayang serta keadilan.
“Dunia tidak memerlukan lebih ramai pemimpin yang pandai berbicara, sebaliknya memerlukan mereka yang mampu mendengar serta menanam kepercayaan dalam kalangan rakyat.
“Kepimpinan ialah amanah yang menuntut keikhlasan dan keadilan. Dunia tidak perlukan pemimpin yang menuntut ketaatan, tetapi yang membina keyakinan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan terdapat 61 peratus daripada 690 juta penduduk merupakan golongan muda berusia bawah 35 tahun di rantau ASEAN.
“Angka itu mencerminkan kekuatan besar rantau ini sekiranya digerakkan dengan matlamat serta nilai yang betul.
“Biarlah degupan hati generasi muda berdenyut untuk tujuan, bukan sekadar kemajuan,” katanya.
Persidangan iFuture 2025 menghimpunkan ratusan pemimpin muda dari pelbagai negara bagi membincangkan peranan generasi baharu dalam membentuk masa depan dunia yang berteraskan nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab sosial. – MalaysiaGazette
















