PH PTPTN
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menempelak Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang berterusan mendesak supaya Perikatan Nasional (PN) menamakan calon Perdana Menteri mereka.

Sedangkan, kata beliau yang juga Ketua Penerangan Pas, dalam kalangan Kerajaan Perpaduan sendiri tidak sepakat dalam menamakan calon Perdana Menteri masing-masing.

Menurutnya, selain Pakatan Harapan (PH) yang dengan tegas mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Barisan Nasional (BN) misalnya tidak pernah menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri pilihan mereka sekiranya Kerajaan Perpaduan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Saya tak nampak lagi (ahli Parlimen) BN bangun dan menyatakan kalau mereka menang pilihan raya, maka Tambun (Anwar) akan jadi Perdana Menteri.

“Begitu juga dengan (Ahli Parlimen) Sabah dan Sarawak, mereka pun tidak pernah kata Tambun (Anwar) akan jadi Perdana Menteri pilihan mereka,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Poay Tiong ketika sesi perbahasan Belanjawan 2026 pagi ini mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menamakan calon Perdana Menteri daripada PN.

Susulan itu, Hamzah berkata, semua ahli Parlimen PN sudah mengetahui siapa calon Perdana Menteri daripada blok pembangkang dan menggesa supaya Poay Tiong menyertai PN sekiranya mahu mengetahui mengenai perkara tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyelar beberapa ahli Parlimen kerajaan yang mempersoalkan mengenai peruntukan yang akan digunakan oleh PN menerusi bajet alternatif seperti dibentangkan Hamzah.

“Yang kita bahaskan ini adalah bajet 2026 daripada PM (kerajaan) bukan dari Ketua Pembangkang. Kalau nak bahas bajet Ketua Pembangkang, kena jadikan Ketua Pembangkang sebagai Perdana Menteri dulu, baru boleh kita bahaskan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast