Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran.

KUALA LUMPUR –  Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan parti itu tidak pernah mendesak jawatan dalam kerajaan sebaliknya hanya mahu prinsip keadilan dan semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN) dihormati oleh semua pihak termasuk UMNO.

“Kami bukan gila jawatan atau minta jawatan. Tapi kalau dalam satu komponen hanya satu pihak sahaja yang membolot semuanya, itu bukan semangat berkomponen,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MIC hari ini.

Menurut beliau, hubungan MIC dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan kerajaan kekal baik namun masalah sebenar berpunca daripada cara Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengendalikan hubungan antara parti komponen.

“Kami tiada masalah dengan Perdana Menteri. Sentiasa ada perbincangan. Tapi kami ada masalah dengan Presiden BN sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Vigneswaran turut mempersoalkan mengapa UMNO masih gagal mendapatkan semula sokongan akar umbi Melayu di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

“Sepatutnya Zahid tanya ahli akar umbi UMNO sendiri kenapa orang Melayu di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sudah tidak bersama mereka. Tidak perlu buat kajian dengan MIC, buat dengan ahli akar umbi UMNO,” tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Zahid dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia semalam yang mendakwa hasil kajian menunjukkan ahli MIC dan MCA tidak mahu parti mereka meninggalkan BN.

“Dia kata ada kajian menunjukkan ahli akar umbi MIC tak mahu keluar BN. Soal saya, bila pula dia jumpa akar umbi kami? Statistik itu tak betul. Ia bukan kesilapan, ini penipuan,” kata Vigneswaran.

Sebelum ini, Vigneswaran juga menafikan dakwaan beliau kerap berjumpa Ahmad Zahid bagi membincangkan masa depan MIC dalam BN sebaliknya menyatakan pertemuan terakhir antara mereka dalam kapasiti rasmi sebagai presiden parti sudah lebih dua tahun lalu.

“Saya hanya jumpa dia tiga bulan lepas dalam satu mesyuarat perpaduan nasional, itu pun secara kebetulan. Kali terakhir secara rasmi antara presiden parti dua tahun lalu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, keyakinannya terhadap kepimpinan Zahid kini terhakis dan beliau menyerahkan kepada keputusan parti untuk menentukan langkah selanjutnya.

“Saya sudah tidak ada keyakinan terhadap kepimpinan Zahid. Saya biar parti buat keputusan. MIC akan terus berpegang pada prinsip dan maruah perjuangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast