MUAR – Seorang warga emas mendakwa melihat kereta Proton Saga FLX dihidupkan semasa parkir di kawasan tebing sebelum secara tiba-tiba bergerak dan terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pagoh di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Reneh Abdullah berkata, kejadian tersebut disaksikan seorang lelaki berusia 70-an yang berada di situ.
“Menurut warga emas itu, ada seorang saksi lain yang cuba untuk membantu mengeluarkan mangsa selepas kereta terjunam dalam sungai tetapi tidak berjaya.
“Sebelum itu dia nampak kereta terbabit parking di tepi sungai tersebut sebelum dengar enjin dihidupkan dan tiba-tiba terjunam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, hari ini.
Muhammad Aidil berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu, semasa kejadian air pasang dan deras.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan punca sebenar kejadian yang melibatkan elemen-elemen daripada pelbagai sudut,” katanya.
Beliau memberitahu, mangsa merupakan seorang duda dan bekerja sebagai Pegawai Sumber Manusia di sebuah kilang kayu di Batu Pahat.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Mayat Muhd Husni Mahmud, 47, ditemukan pukul 1.01 pagi tadi dalam kereta tersebut selepas berjaya dibawa naik dengan bantuan kren.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar dilaporkan berkata, mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu selepas kereta ditarik naik ke darat.
Terdahulu portal ini melaporkan seorang pemandu kereta dikhuatiri lemas selepas keretanya terjunam ke dalam Sungai Panchor pukul 2.30 petang semalam. – MalaysiaGazette
















